PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948
Pada
hari ini dalam tahun 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah
ditandatangani oleh Sir Edward Gent sebagai wakil kerajaan British dengan
Raja-Raja Melayu bagi negeri Johor, Pahang, Selangor, Perak, Kedah, Perlis,
Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan termasuk Negeri-Negeri Selat, iaitu
Melaka dan Pulau Pinang. Perjanjian ini telah dibuat selepas gagasan Malayan
Union mendapat tentangan hebat orang Melayu dari segenap pelosok negara.
Desakan demi desakan dari seluruh negara telah memaksa Inggeris menarik balik
gagasan Malayan Union dan digantikan dengan satu bentuk pentadbiran yang lebih
selesa. Sesungguhnya Perjanjian yang ditandatangani
di King's House (CARCOSA), Kuala Lumpur ini adalah sebagai persediaan ke arah
penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 yang telah
mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu dan beberapa syarat kerakyatan bagi
orang-orang asing serta hak-hak istimewa orang Melayu. Peristiwa bersejarah
pada hari ini juga adalah menjadi asas kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos
1957 kemudiannya, dan menjadikan Malaysia sepertimana yang kita semua nikmati
pada hari ini.